Harm Awareness Association Malaysian Organisation of Vape Entity

MITOS TENTANG MEROKOK

Terdapat pelbagai mitos tentang rokok. Ada yang tercetus akibat kurang informasi, dan ada juga yang ‘dicetuskan’ untuk menyokong tabiat merokok itu sendiri. Jom kita lihat beberapa mitos popular tentang rokok.

 

1. Merokok Sekali Sekala, Takkan Ketagih

 

Dari kali pertama rokok dihisap, nikotin di dalamnya akan meresap ke otak dalam masa hanya 10 saat, merangsang penghasilan hormon dopamine yang menghadirkan satu rasa tenang dalam diri. Hormon ini juga dirasakan mampu meningkatkan mood dan fokus, mengurangkan stres, menenangkan otot dan mengurangkan selera makan. Walau bagaimanapun, semua kesan ini bersifat sementara kerana otak akan mula terbiasa dengan dos nikotin yang diambil dan mula mengurangkan penghasilan hormone dopamine tadi. Ini akan menyebabkan seseorang ketagih untuk merokok lagi dan lagi, kerana ‘rindu’ dengan rasa tenang tadi dan cuba mendapatkannya kembali. Tanpa disedari, jumlah rokok yang dibakar juga akan bertambah, kerana jumlah yang sedikit tidak lagi mampu menghasilkan sensasi pada tahap serupa. 

 

2. Kalau Tak Kerap, Tak Bahaya

 

Asap daripada pembakaran SEBATANG rokok menghasilkan lebih 6,000 bahan kimia berbahaya dan partikel halus, di mana 80 daripadanya dikategorikan sebagai karsinogen, termasuklah nikotin. Karsinogen adalah bahan-bahan yang boleh menyebabkan pertumbuhan kanser dalam sel dan tisu hidup, merosakkan DNA dan mengganggu proses metabolik sel. Itu, kalau sebatang. Bayangkan berapa batang yang dikatakan ‘tak kerap’ tu? Selain 80 karsinogen yang merangsang sel, merokok juga telah terbukti mengundang risiko penyakit-penyakit kritikal seperti lemah jantung, radang paru-paru dan pelbagai lagi. Jadi, untuk hapuskan terus bahayanya, apa kata kita ubah daripada ‘tak kerap hisap’ kepada ‘tak hisap dah’?

 

3. Hisap Rokok, Baru ‘Cool’…

Hisap Rokok Baru Cool

Kalau dilihat pada visual dan imej yang terpapar di dalam filem atau video-video media sosial oleh bintang-bintang kesayangan kita, mungkin. Tetapi itu semua lakonan semata-mata.  Mengikut sebuah jurnal terbitan American Society of Plastic Surgeons pada tahun 2013, hanya lima tahun merokok sudah cukup menyebabkan perubahan pada wajah seseorang. Antara yang paling ketara adalah pembentukan kantung mata yang melayut, bibir berkedut, garis senyuman lebih mendalam dan pipi yang cengkung. Perokok juga akan kelihatan lebih tua dengan kulit yang kusam. Mereka yang merokok setiap hari juga berdepan risiko mengidap psoriasis sebanyak 20 peratus. Dan jika tabiat harian ini telah terbentuk lebih 11 tahun, risiko ini boleh meningkat kepada 60 peratus. Psoriasis adalah satu kondisi kulit bersisik yang berwarna merah, bertompok dan menggelupas. Kondisi ini akan kekal pada diri penghidapnya pada satu jangka masa yang lama, dan masih tiada penawar. ‘Cool’ kan?

 

4. Naikkan Saja Harga dan Cukai Rokok

Cukai Rokok

Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pelbagai pihak untuk mengurangkan bilangan perokok, termasuk mendesak pihak berwajib untuk menaikkan cukai dan harga rokok. Walau bagaimanapun, ini bukan saja tidak ideal untuk mengurangkan bilangan perokok, malah berisiko mencetuskan isu lain pula seperti penjualan dan penyeludupan rokok haram. Menurut kajian yang dijalankan oleh Nielsen pada tahun 2019, Malaysia mencatat jualan rokok haram tertinggi di dunia iaitu pada 58.9%. Ini juga menyebabkan negara kita kehilangan sehingga RM5 bilion dalam pendapatan cukai yang tak dikutip, dalam setahun. Jumlah perokok? Masih tinggi – mengikut laporan The Guardian, 1.1 bilion di seluruh dunia!

 

5. Dah Lama Merokok, Mesti Dah Susah Nak Sihat

 

Pengarah Center for Tobacco Research and Intervention USA, Dr. Michael C. Fiore mengatakan, manfaat berhenti merokok akan dapat dirasai sejak hari pertama berhenti. Dalam sebulan, paru-paru yang telah sihat akan dapat menghirup lebih banyak udara segar. Risiko terkena serangan jantung pula akan berkurangan sehingga 50% dalam masa cuma setahun. Kajian oleh American Cancer Society pula menyatakan perokok yang berhenti sebelum berusia 35 tahun dapat mencegah 90% risiko masalah kesihatan kerana merokok. Bagi yang berhenti sebelum mencecah usia 50 tahun pula, dijangka dapat hidup 15 tahun lebih lama berbanding yang masih tegar.

 

Pastinya untuk terus berhenti adalah sangat mencabar, apatah lagi jika telah berpuluh tahun sebati dengan tabiat tersebut. Walau bagaimanapun, masih ada jalan untuk mengurangkan risiko penyakit kritikal akibat merokok. Memandangkan penyakit-penyakit ini sebenarnya berpunca daripada bahan kimia yang terhasil oleh asap pembakaran tembakau, maka risikonya boleh dikurangkan dengan beralih kepada alternatif yang tidak menghasilkan asap akibat pembakaran, seperti rokok elektronik, vape dan produk pemanasan tembakau (HTP). HTP bukan saja tidak menghasilkan asap, malah tidak menghasilkan abu dan hanya membebaskan wap air. Alternatif-alternatif ini adalah satu ‘persinggahan’ yang lebih baik, dalam perjalanan untuk berhenti merokok sepenuhnya – ini fakta, bukannya mitos!

 

RUJUKAN

 

https://www.hmetro.com.my/hati/2018/02/316620/remaja-mudah-terjebak 

https://www.nia.nih.gov/health/quitting-smoking-older-adults 

https://www.nicorette.com.my/get-ready-to-quit/myths-about-quitting-smoking 

https://www.health.nsw.gov.au/tobacco/Pages/myths-about-smoking-and-quitting.aspx 

https://www.webmd.com/smoking-cessation/features/10-persistent-myths-about-smoking 

https://vivahealth.co.id/article/detail/12228/mitos-dan-fakta-merokok 

https://hellosehat.com/hidup-sehat/berhenti-merokok/7-mitos-salah-seputar-rokok/ 

http://www.myhealth.gov.my/mitos-a-fakta/  

https://www.alodokter.com/mitos-yang-membuat-Anda-tidak-berhenti-merokok 

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/04/548327/malaysia-menjual-rokok-haram-tertinggi-di-dunia-kata-kajian

https://hellodoktor.com/habit-sihat/berhenti-merokok/kesan-merokok-menjejaskan-penampilan/ 

https://journals.lww.com/plasreconsurg/pages/default.aspx 

https://www.utusan.com.my/luar-negara/2021/05/jumlah-perokok-global-cecah-1-1-bilion/ 

https://www.medicinenet.com/script/main/art.asp?articlekey=53998 

 

Maklumat   terkini melalui email